OKTOBER 2022

Masyarakat Diajak Bersama Pacu Kemajuan


KUCHING: Mengajak semua lapisan masyarakat secara menyeluruh menyertai program pembangunan adalah cabaran paling besar dihadapi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi BDDA, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, tanpa penyertaan menyeluruh masyarakat projek pembangunan yang dirancangkan akan mengalami kegagalan.

Justeru, penyertaan masyarakat dalam projek pembangunan yang dicadang amat penting, katanya berucap pada sesi (makmal) kedua strategi pembangunan BDDA 2030 di sini.

Hadir sama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Mohd. Razi Sitam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, ADUN Kabong, Mohd. Chee Kadir, ADUN Beting Maro, Razaili Gapor, ADUN Kalaka, Mohammad Duri dan ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor.

Penasihat Sains kepada kerajaan, Tan Sri Datuk Amar Alfred Jabu, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Dr Richard Rapu dan Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abunawas turut hadir.

Uggah berkata, BDDA ditubuh untuk memacu pembangunan secara menyeluruh di Bahagian Betong terutama dalam bidang ekonomi.

“Menjelang tahun 2030, kita mahu masyarakat di Bahagian Betong mencapai status penduduk berpendapatan tinggi dengan mengecapi taraf hidup yang tinggi setanding dengan kemajuan dinikmati oleh masyarakat lain.

“Ini hanya dapat dicapai, jika masyarakatnya bersungguh-sungguh membangunkan tanah yang dimiliki dengan menggunakan teknologi terkini,” katanya.

Menurut Uggah, sejak 50 tahun lalu mencapai kemerdekaan, kerajaan telah banyak melaksanakan program pembangunan seperti infrastruktur, utiliti dan kemudahan asas lain serta sektor ekonomi.

Sehubungan itu, beliau berharap kadar kemiskinan di Bahagian Betong dapat dikurangkan susulan banyak projek pembangunan bakal dilaksanakan oleh BDDA.

Mengenai peruntukan RM1.5 bilion kepada BDDA, Uggah yang juga ADUN Bukit Saban berkata, semua DUN di kawasan terbabit akan diperuntukkan RM200 juta manakala DUN Lingga akan mendapat RM30 juta.

Lingga mendapat RM30 juta disebabkan hanya 10 peratus kawasannya di bawah BDDA, katanya dan menambah selebihnya RM70 juta adalah untuk dana bersama.

Pusat pentadbiran BDDA adalah di Betong, kata Uggah dan menegaskan, Gerald Rentap dan Mohd. Razi akan menjadi Timbalan Pengerusi BDDA.

Sumber dari : Jiwa Bakti